Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan bekas perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan Tun Dr Mahathir untuk mendapatkan sokongan menjadi perdana menteri sekali lagi hanyalah berasaskan kuasa dan kedudukan.
Hal ini sekaligus menjadikan rakyat dan negara sekali lagi sebagai taruhan.
Menurut laporan media, bekas perdana menteri ke-4 dan ke-7 itu telah mengeluarkan kenyataan bahawa Tan Sri Muhyiddin bertemu dengan beliau demi mendapatkan sokongannya untuk menjadi perdana menteri sekali lagi baru-baru ini.
“Beliau mahu saya memberikan sokongan kepadanya dalam usaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi,” kata Dr Mahathir.
Malah menurut Mahathir pertemuan antara Muhyiddin denganya telah diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor seperti apa yang disahkan oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Sehubungan itu, Shamsul mengingatkan peristiwa Muhyiddin yang sebelum ini telah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan kemudiannya menjadi perdana menteri ke-8 dan kini beliau sendiri yang ingin bersama kembali dengan PH demi mengejar jawatan dengan menjadi perdana menteri ke-10.
“Kerana itu cukuplah. Malaysia mahu bergerak kehadapan. Kita mahu membina semula Malaysia,” ujar beliau menerusi posting Facebooknya baru-baru ini.
Discussion about this post