Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar sebarang usaha pindaan atau cadangan melibatkan Tabung Haji mesti dinilai secara bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang lain terutama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil-wakil rakyat.
Ketua Pemuda UMNO, Dato Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka amat terkejut dengan dua perancangan yang sedang dibuat oleh Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, tindakan meletakkan Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) boleh meletakkan beberapa risiko ke atas kedudukan TH.
“BNM adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan. Apa yang akan berlaku sekiranya TH tertakluk di bawah BNM dan Menteri Kewangan pada ketika itu tidak memahami maqasid kewujudan TH seperti mana yang telah berlaku sebelum ini?,” soalnya menerusi suatu hantaran Facebook.
“Meletakkan TH di bawah BNM akan memberikan kesan kepada jaminan simpanan pendeposit. Hari ini, simpanan pendeposit TH dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan. Berbeza dengan simpanan bank yang hanya diberi jaminan maksimum RM250 ribu sahaja. Malah isu semakan ketetapan jaminan ini pernah dibincang antara Menteri Kewangan dan Menteri Agama pada awal tahun ini.” katanya.
Menurut beliau, meletakkan TH di bawah BNM akan menyebabkan polisi-polisi TH perlu diluluskan terlebih dahulu oleh BNM sebelum dilaksanakan. Contohnya penambahan subsidi haji.
Selain itu, tindakan menilai semula model operasi TH dan semakan Akta TH 1995 adalah tidak wajar.
“Kami tidak begitu faham atas tujuan apa Akta ini perlu disemak semula. Sekiranya yang mahu disemak adalah ketetapan jaminan Kerajaan (sepertimana status Facebook Menteri Agama), maka ia akan merugikan umat Islam dan TH.
“Walaupun ketiadaan jaminan itu akan membolehkan Kerajaan mengurangkan liabiliti kewangan negara, tetapi ia akan memberikan ‘disadvantage’ kepada TH. TH kehilangan satu tarikan utama bagi pendeposit kerana kedudukannya sudah sama taraf denga bank-bank biasa yang lain.” tambah beliau.
Menurut beliau, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri mengenainya dan akan terus memantau dengan dekat perkembangan isu ini bagi memastikan kepentingan umat Islam dan kemurnian falsafah kewujudan TH terus terpelihara.
Discussion about this post