Wujudnya kes jangkitan Covid-19 membabitkan guru dan murid selepas beberapa hari sekolah kembali dibuka sudah pastinya mendatangkan kerisauan para ibu bapa.
Dalam keadaan begini ‘perutusan khas’ amat diperlukan oleh ibu bapa, murid dan guru bagi mendapatkan pencerahan terhadap tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah, kata Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam hantarannya di Facebook beliau pagi tadi.
Beberapa hari sekolah kembali dibuka sudah ada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan membabitkan guru dan murid….
Posted by Zahid Hamidi on Thursday, March 25, 2021
“Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi di Johor dilapor ditutup sehingga 25 Mac ini selepas tiga murid, seorang guru dan seorang kakitangan sekolah itu dikatakan sah positif Covid-19”
“Selain, SK Bukit Jenun di Kedah pula ditutup bermula Jumaat lalu sehingga satu tarikh yang belum ditetapkan selepas seorang guru di sekolah itu disahkan positif Covid-19,” katanya.
Berikutan hal ini masih belum ada sidang khas oleh pihak berwajib bagi memperjelaskan tentang perkembangan yang agak membimbangkan itu kepada umum.
Tambah beliau, ibu bapa perlu tahu adakah SOP sedia ada di sekolah masih mencukupi untuk mencegah jangkitan Covid-19 atau memerlukan sebarang penambahbaikan.
Selain itu, Murid Berkeperluan Khas (MBK) adalah yang paling diutamakan kerana kanak-kanak ini dikategorikan sebagai berisiko terhadap Covid-19.
“Saya berasa bimbang sekiranya insiden di dua sekolah itu tidak diambil berat. Meskipun ia cuma terjadi di dua buah sekolah namun hal keselamatan dan kesihatan tidak boleh dipandang remeh”
“Setiap nyawa adalah berharga oleh itu, pihak berwajib perlu menjamin sepenuhnya keselamatan murid-murid walau dalam apa cara sekalipun,” katanya.
Discussion about this post