Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu didahulukan jika bertembung dengan pemilihan UMNO pada tahun sama.
Inilah yang ditegaskan beberapa pemimpin UMNO yang mahukan rakyat membuat penilaian dengan memilih kerajaan berdasarkan keupayaan dan kekukuhan parti.
“Kalau dikatakan tempoh pilihan raya dengan tempoh pemilihan parti berada saling bersaingan, perlu didahulukan pilihan raya. Biar seiring atau keseiringan parti dan kerajaan kerana kali ini diperintah Perdana Menteri orang UMNO,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sementara itu, Ketua UMNO Sembrong yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata semua ahli UMNO perlu menunggu pendirian parti yang akan dipanjangkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk memutuskannya.
“Jangan membelakangkan hak membubar Parlimen yang berada dalam tangan Yang di-Pertuan Agong. Pada masa sama, apa saja keputusan baginda datang bersama nasihat Perdana Menteri. Jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh.
“Kita bertindak berlebihan dan terlanjur untuk memastikan sesuatu, kita sendiri tidak tahu kedudukan masing-masing, parti, Perdana Menteri serta kuasa menentukan PRU di tangan Tuanku,” katanya.
Discussion about this post