Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mendedahkan Presiden Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menswastakan Felda ketika beliau memerintah negara.
Ismail berkata seperti mana dilakukan kepada Lembaga Letrik Negara (LLN) yang diswastakan menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dr Mahathir turut mahu melakukan perkara sama ke atas Felda.
Katanya namun usaha tersebut tidak berjaya menyebabkan Dr Mahathir kecewa lalu tidak lagi memberi bantuan kewangan kepada Felda.
“Ramai yang claim merekalah yang bertangungjawab dan sayang pada Felda. Saya nak beritahu satu rahsia bahawa Presiden Parti Pejuang, Dr Mahathir dia nak swastakan Felda sebelum Lembaga Letrik Negara (LLN) diswatakan.
“Waktu itu LLN diswastakan, jadi sebenarnya sebelum ada TNB Felda pun nak diswastakan. Tetapi dia tidak berjaya swastakan Felda, sebab itu dia agak kecewa.
“Dan mulai tarikh tersebut dia buat keputusan tak lagi beri kewangan kepada Felda dan Felda hidup sendiri perlu cari wang sendiri.
“Jadi kalau nak kata orang lain sayang Felda ada bukti mereka tidak seperti yang mereka katakan. Sekali lagi saya katakan BN lah yang sayang Felda,” katanya ketika berucap ada Program Transformasi Perladangan Felda di Felda Endau Mersing hari ini.
Oleh itu Ismail berkata, untuk berterima kasih pada kerajaan rakyat boleh berterima kasih kepada parti BN dengan memberi undi kepada calon BN pada PRN Johor.
Discussion about this post