Usaha dan jerih perih petugas-petugas Komunikasi Barisan Nasional (BN) dalam setiap Pilihan Raya Negeri termasuklah di Sabah, Melaka dan Johor akhirnya mendapat pengiktirafan daripada Presiden UMNO.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO 2021 hari ini mengakui dunia siber semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat dan anak muda zaman kini.
Sehubungan itu beliau mahu penglibatan semua anak muda dalam memerangi fitnah dan dakyah yang mampu menjatuhkan sesebuah parti harus diteruskan tanpa mengenal penat lelah kerana inilah ‘senjata’ utama dalam era serba moden.
“UMNO hari ini mesti dianjakkan ke hadapan. Kita bersama dunia sedang melangkah ke penggunaan teknologi komputer semaksimum mungkin.
“UMNO boleh pelajari dan mengguna teknologi ini untuk menyanggah semua dakyah yang menjadi bahan dan umpat keji daripada pembenci.
“Media sosial ini bukan baharu. Ia boleh menjadikan parti lebih berketerampilan, khususnya kepada golongan muda dan pengundi baharu. Ia adalah teknologi yang harus kita santuni,” katanya.
Ahmad Zahid dalam ucapannya juga mahu perjuangan perang siber ini tidak terhenti hanya ketika PRN tetapi diteruskan dan secara konsisten.
“Syabas kepada BN Comms dan PUMAS yang berperanan sebagai senjata tempur siber kita.
“Namun, suka saya ingatkan kejayaan paling utama dalam penggunaan media sosial adalah kekerapan dan mesti konsisten.
Discussion about this post