Mandat baharu daripada rakyat adalah satu keperluan dan tindakan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bukanlah satu bentuk ‘tamak kuasa’.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah menjelaskan bahawa keputusan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN juga bukan tindakan untuk ‘menjaga kluster mahkamah’ seperti tohmahan sesetengah pemimpin politik yang dangkal.
“Ini adalah satu usaha demokrasi yang diperlukan bagi mencari sebuah kerajaan yang kukuh untuk terus mentadbir.
“Diharapkan rakyat Johor dapat membuat satu keputusan yang tepat demi memastikan Johor terus memacu kejayaan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
**KENYATAAN PENUH Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru:
KEPERLUAN ADAKAN PILIHANRAYA NEGERI JOHOR
Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mengambil maklum perkembangan terkini politik di Johor di mana Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi terbubar semalam selepas mendapat perkenan daripada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Sebagaimana dijelaskan YAB Dato’ Hj Hasni Mohammad, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dalam sidang media semalam, menyatakan Pilihan Raya Negeri (PRN) wajar diadakan berikutan kedudukan kerajaan negeri yang tidak dan bergerak atas ‘ihsan pembangkang’.
Itu adalah realiti yang harus diterima dan sememangnya perkara itu tidak patut berlaku di negeri Johor yang memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kuat demi memastikan perancangan di negeri selatan tanah air ini dapat dipergiat dan berjalan lancar.
Contoh yang diberikan YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor semalam adalah satu daripada situasi yang menunjukkan dengan jelas kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil, iaitu di mana insiden pembangkang Johor yang membawa rundingan Majlis Tindakan Daerah (MTD) pada Sidang DUN Johor selepas Belanjawan Johor 2022 dibentangkan, November lalu.
Undian dilakukan menerusi rundingan itu membawa kepada keputusan seri 27 sama selepas undian di DUN dilakukan, namun Speaker DUN, Suhaizan Kaiat memutuskan untuk berpihak kepada kerajaan menjadikan keputusan undian 28-27, bagi membolehkan kerajaan Johor tidak tergantung.
Jelas insiden ini membuktikan kerajaan Johor amat tidak stabil dan berada atas ‘ihsan pembangkang’ sebagaimana diperkatakan YAB Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor semalam.
Pergerakan Pemuda UMNO Johor sedar rakyat kini masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan sesetengahnya sedang mengharungi situasi pasca banjir yang menyukarkan, namun sebagai sebuah parti politik, kesedaran untuk mendapatkan kerajaan yang stabil juga penting bagi memastikan segala bentuk bantuan dan polisi yang memberi manfaat kepada rakyat dapat direncana dengan berkesan.
Justeru, itulah yang dilakukan UMNO Johor iaitu memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang diharapkan kerajaan dipilih stabil dan kukuh untuk meneruskan pentadbiran di Johor.
Mandat baharu daripada rakyat Johor adalah satu keperluan, tindakan mengadakan PRN ini bukanlah satu bentuk ‘tamakkan kuasa’ atau ‘menjaga kluster mahkamah’ seperti tohmahan sesetengah pemimpin politik yang dangkal.
Ini adalah satu usaha demokrasi yang diperlukan bagi mencari sebuah kerajaan yang kukuh untuk terus mentadbir. Diharapkan rakyat Johor dapat membuat satu keputusan yang tepat demi memastikan Johor terus memacu kejayaan pada masa akan datang.
Discussion about this post