Mereka yang tidak keluar untuk membuang undi dalam mana-mana pilihan raya sepertimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini harus menerima serta akur keputusan yang telah dibuat oleh mereka yang membuang undi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata apa yang boleh dilihat pada pilihan raya berkenaan, sistem demokrasi negara yang berpaksikan ‘first past the post’ telah meletakkan sesebuah parti yang mendahului dalam pilihan raya tersebut membentuk kerajaan negeri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menjelaskan senario di Melaka bukan sahaja menunjukkan sistem berkenaan berjalan dengan baik malahan Barisan Nasional (BN) telah diberi mandat yang cukup besar oleh para pengundi yang keluar dengan ¾ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memihak kepada BN.
“Mereka yang tidak keluar mengundi mungkin ada pelbagai alasan, namun dalam konteks demokrasi orang yang tidak keluar mengundi itu dengan lain perkataan mereka kena menerima keputusan apa juga yang dicapai dalam pilihan raya. Itu dari segi asas demokrasi dan mereka tidak boleh pertikai kerana itu pilihan mereka apabila tidak keluar membuang undi.
“Mesej pengundi yang keluar mengundi menyatakan mereka inginkan UMNO dan BN menerajui negeri Melaka dan memilih kestabilan. Perkataan stabil dan makmur ini amat memainkan peranan penting dari segi konsep kempen kita. Kestabilan demi kemakmuran dua perkataan. Itu nampak perkataan penting yang meyakinkan pengundi.
“Dari satu sudut lain, mereka tidak mahu apa yang berlaku di pusat yang mana perdana menteri bertukar tiga kali dalam masa tiga tahun, dan kita juga tidak mahu lagi di Melaka lompat melompat jatuh kerajaan jadi mereka memberikan mesej… nak kerajaan stabil dan sebab itu lebih 2/3 kerusi yang dimenangi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas yang mengupas pasca PRN Melaka yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online.
Tambah Ahmad Maslan lagi, dengan kepercayaan sedemikian rupa iaitu melebihi 2/3, kerajaan Melaka hari ini kukuh dan tidak akan ada lagi mereka yang melompat dan sebagainya.
UMNO Online
Discussion about this post