Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menganjurkan Program Sayangi Lenggong di sepanjang Ramadan membabitkan sekitar 4700 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, oku, ibu tunggal dan warga emas.
Program ini diadakan setiap tahun semenjak 2008 bagi menyemarakkan semangat ukhwah Ramadan.
“Bulan Ramadan bulan yang mulia, bukan sahaja kita harus perbanyakkan amalan bersedekah, ianya juga harus dijadikan kesempatan untuk merapatkan silaturahim sesama insan”, katanya setelah selesai memberi sumbangan di Kampung Gandar Temenggor, Ahad.
Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Pengarah Komunikasi Barisan Nasional berkata, ini adalah inisiatif untuk mendekatkan diri dengan rakyat. Mendengar keluh kesah rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup di kala negara masih berdepan dengan pandemik COVID19.
Beliau berharap agar sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu rakyat di sekitar Parlimen Lenggong sempena Aidilfitri yang bakal menjelma.
Discussion about this post