Kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal mengenai isu Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya dipecat kerana 1MDB hanyalah propaganda parti itu selar Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.
“Dia dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri saya pada bulan Julai 2015 sebab dalam kabinet dia cakap lain, luar kabinet dia cakap lain sebab dia sudah berkomplot dengan Mahathir dan Mukhriz sejak tahun 2014,” bidas Najib yang kenyataannya dirujuk daripada pautan berita online Mstar pada 13 Julai 2014.
Najib turut menyenaraikan pengkhianatan yang dilakukan Muhyiddin bukan kerana 1MDB tetapi ianya lebih kepada kepentingan peribadinya sendiri walaupun terpaksa mengkhianati ketuanya sendiri, Tun Dr Mahathir.
“Dia khianat Pak Lah, dia jadi Timbalan Perdana Menteri. Dia khianat saya tapi tidak berjaya jadi Perdana Menteri. Dia khianat Mahathir dan PH, dia jadi Perdana Menteri. Dia derhaka pada YDP Agong sebab mahu kekalkan jawatan Perdana Menteri,” kata Najib.
Perilakunya yang sanggup menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong telah menyebabkan Raja-raja Melayu mengeluarkan titah bersama bahawa Darurat tidak boleh dilanjut dan parlimen perlu bersidang.
Najib turut merujuk peristiwa sehingga Agong keluar titah untuk menzahirkan rasa duka cita kerana Muyhiddin membuat ‘back-date’ pembatalan darurat demi mengelak undian dalam Dewan Rakyat yang boleh menjatuhkannya ketika itu.
Dalam masa yang sama, Najib mengingatkan Wan Ahmad mengenai Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang mengambil tempoh paling lama dalam dunia yang membuatkan Malaysia adalah negara paling lama menggantungkan parlimen atas alasan Covid-19 hanya disebabkan kepentingan peribadi Muhyiddin.
“Paling lawak ialah selepas khianat Mahathir dan PH, dia boleh pula minta nak kerjasama semula dengan Mahathir dan PH baru-baru ini hanya sebab dia bercita-cita nak jadi PM semula.
“Tapi permintaan ditolak terus oleh Mahathir dan DAP secara umum dengan alasan tidak mahu bersepakat lagi dengan pengkhianat,” kata Najib menerusi posting Facebooknya.
Najib turut menegaskan bahawa bukan beliau yang memecat sebaliknya telah dipecat dari UMNO pada bulan Jun 2016 oleh panel disiplin kerana berkempen bersama Mahathir, DAP, dan PKR pada bulan Mac 2016 ketika acara menipu ‘Selamatkan Malaysia’.
Discussion about this post