Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada pukul 11 pagi, menjadi pusat mengundi pertama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ditutup hari ini.
Pusat mengundi yang mempunyai satu saluran bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan mempunyai 34 pengundi yang layak mengundi itu dibuka untuk proses pengundian selama tiga jam bermula 8 pagi.
Setakat pukul 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan sebanyak 22 peratus pengundi telah keluar mengundi.
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak turut meninjau beberapa pusat mengundi termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya 2 di DUN Skudai dan Dewan Hassan Abdullah di DUN Perling bagi melihat kelancaran proses pengundian hari ini.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian hari ini.
Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Discussion about this post