Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Rafizi Ramli takut dengan akaun sosial media, Facebook Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian apabila cubaan Rafizi Ramli mengadakan cerita kononnya Najib mendapat layanan istimewa ketika dalam penjara.
“Sudahlah takut, hipokrit pula. Rafizi dakwa Najib ada akses bebas kepada dunia luar dan mendapat layanan umpama ‘Merpati’ di penjara.
“Sebenarnya Rafizi takut pada fb Najib. Penjara berjaya lemahkan sebahagian kekuatan media sosial UMNO. Sebab itu Rafizi bawa cerita fitnah bila fb Najib diaktifkan,” kata Puad dalam satu hantaran di Facebooknya.
Selain itu, Puad juga mengatakan khabar angin palsu yang disebarkan baru-baru ini mengenai layanan istimewa yang diterima oleh Najib dan juga bilik penjaranya telah diubahsuai hasil daripada Rafizi menggunakan saluran whatsapp yang tidak bernama.
Beliau menekankan Rafizi bersikap hipokrit kerana rakan sekutunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipenjarakan sebelum ini sendiri duduk di Hospital Rehabilitasi Cheras sehingga enam bulan selain mendapat peluang melawat saudara-maranya yang sakit dan meninggal dunia.
“Rafizi kata Anwar ada pengesahan sakit oleh pakar. Tahukah dia, Najib dihari pertama ke hospital, diberi ubat yang salah, dinafikan hak masuk wad dan dihantar semula ke penjara,” selar Puad lagi.
Puad menegaskan, ketakutan yang ada pada Rafizi terhadap keaktifan akaun media Facebook Najib dijadikan peluang untuk menimbulkan fitnah dan berbohong kepada rakyat.
Discussion about this post