Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tertanya-tanya mengapa Rafizi Ramli masih tidak henti menyerang sedangkan beliau telah bersetuju untuk berdebat.
Menurut Najib, asakan Rafizi itu menampakkan beliau benar-benar dalam keadaan terdesak.
“Akhirnya dia mengaku pun bahawa Sapura bukan GLC masa saya jadi PM.
“Tapi dia masih mahu salahkan saya sebab gaji dan pampasan bagi pengurusan lama sebab PNB ada sedikit pelaburan dalam Sapura masa itu.
“Kucing kamu sakit perut juga mahu salahkan saya tak,” soal Najib menerusi satu catatan di Facebook.
Tambah beliau, tabung-tabung simpanan awam seperti PNB, KWSP, Tabung Haji, KWAP dan LTAT melabur dalam bentuk ekuiti dalam ratusan atau ribuan syarikat tersenarai di dalam pasaran Malaysia dan luar negara.
“KWSP sahaja ada kepentingan saham dalam 173 saham tersenarai di Bursa Malaysia.
“Sebab itu, setiap syarikat tersenarai mempunyai lembaga pengarah untuk menjaga kepentingan syarikat.
“Setiap tabung-tabung simpanan awam pula ada lembaga pelaburan masing-masing untuk memantau pelaburan mereka,” ujar Ahli Parlimen Pekan itu.
Jelasnya, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu adalah tidak masuk akal untuk memantau hal ehwal setiap syarikat tersenarai yang tabung-tabung simpanan pernah dan sedang membeli ekuiti dalamnya.
“Jikapun saya salah semasa Sapura bukan GLC, siapa pula yang perlu disalahkan semasa kerajaan PH menyuntik lebih dana dalam Sapura untuk menjadikannya GLC pada tahun 2019 pada ketika gaji dan pampasan pengurusan lama masih tinggi?
“Dan jikapun kamu tetap nak salahkan saya, adakah kamu juga akan beri segala pujian dan kredit atas kadar dividen tahunan ASB yang cukup tinggi sepanjang tempoh saya PM berbanding kadar dividen yang menjunam rendah selepas PRU14,” katanya lagi.
Discussion about this post