Akan ada penghijrahan besar-besaran jika Parti Bersatu kalah teruk dalam PRN Johor
Nasib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menjadi seperti Parti Semangat 46 yang mana akhirnya akan sedar dan kembali semula ke pangkal jalan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata beliau yakin sekiranya parti Bersatu kalah dalam PRN Johor akan ada penghijrahan besar-besaran dari akar umbi.
“Bersatu akan jadi seperti Semangat 46 akhirnya ada kesedaran balik ke pangkal jalan. MKT kita fikirkan UMNO bukan parti yang dendam sangat, kita ada jiwa yang besar, ada pandangan jauh. Misi satukan orang Islam kena teruskan tetapi kena cari mekanisma.
“Kalau parti Bersatu kalah teruk di Johor akan ada penghijrahan besar-besaran dari akar umbi dari sebuah parti yang besar itu sudah tentu mereka tidak mahu ke PKR atau Amanah.
“Kita tahu mereka dari UMNO kita kena cari jalan kembalikan kekuatan UMNO menjaga kepentingan orang Melayu. Kalau Bersatu tak berfungsi secara efektif sudah tiba masanya penyokong kembali ke pangkal jalan,” katanya ketika sesi wawancara live di Facebook BN Comms bertajuk ‘Menjelang Hari Mengundi’.
Rahman berkata pendekatan Barisan Nasional (BN) yang mahu tawarkan kerajaan berasaskan pengalaman akan menjadikan negara lebih maju ke depan.
Katanya rakyat perlu move on dan tidak boleh terus terpedaya dengan isu dimainkan pihak lawan berkenaan isu mahkamah berkaitan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Najib Razak.
“Kedua-dua pemimpin Datuk Zahid dan Datuk Najib nak bersihkan diri dalam mahkamah, tak kan tunggu keputusan baru kita nak fikirkan Malaysia, nak bangunkan negara.
“Tak kan hendak bawa cerita pasal Datuk Najib di merata tempat, bahkan lagi cerita lagi rakyat kata mereka ketandusan idea dan mereka memang ketandusan idea.
“Menjadi pemimpin bukan senang contoh Tun Mahathir pergi ke China lepas itu umumkan pembatalan ECRL masa ada di Beijing lagi dan batalkan projek Arab Saudi di Malaysia. Buat keputusan tanpa berbincang dengan pihak sebelah sana dalam 22 bulan bukan ekonomi sahaja hancur tetapi ekonomi besar pun tak dapat dijaga.
“Sebab itu kita mahu kerajaan yang berpengalaman agar kita dapat tambah baik hubungan dengan negara luar,” katanya.
Tambahnya kecemerlangan Tun Dr Mahathir ketika zaman pemerintahan beliau ketika 22 tahun lalu disebabkan dibelakangnya terdapat barisan kabinet terdiri dari UMNO.
“22 tahun dahulu dibelakang beliau adalah UMNO terdiri dari kelompok pemimpin yang pengalaman dibantu Datuk Najib, Datuk Hisham, Datuk Zahid yang menjadi sebahagian kabinet beliau.
“Bila 22 bulan jadi PM demokrasi bukan macam ini caranya ini kehancuran tak kan parti kecil jadi PM. Bila parti kecil jadi PM dia kena buli. Dulu dia ada UMNO di belakang yang kuat besar dan mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Discussion about this post