Raja-Raja Melayu sependapat, tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata Raja-Raja Melayu juga sependapat program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi supaya mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.
“Ini kerana nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara lain,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara, petang tadi.
Syed Danial berkata, Raja-Raja Melayu juga sependapat pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.
“Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan,” katanya lagi
” Dalam perjumpaan tersebut, Raja-Raja Melayu telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati, agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan secara bijaksana, dan pada setiap masa melindungi kemuliaan dan kedaulatan takhta pemerintahan , kekal berkecuali dan bebas daripada dilihat (perceived) atau ditafsirkan berpihak kepada mana-mana individu atau kumpulan politik.”
Raja-raja Pemerintah sependapat dalam perkara-perkara berikut iaitu :-
- Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara Iain
- Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80% secepat mungkin.
- Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.
- Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif. Melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari. sedia melakukan pengubahsuaian. sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga beqaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.
- Suhu politik Yang semakin panas wajib diredakan
- Pentingnya sebuah kerajaan Yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat
- Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pernerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.
” Raja-Raja Pernerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif. cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab (accountable) kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.”
” Dalam semangat tersebut Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang. Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin. Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan Virus Covid-19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini.”
” Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pernerintah di negeri-negeri, untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.
” Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang”. katanya lagi.
Discussion about this post