Pendekatan pembangunan dalam politik perlu seimbang demi memastikan perancangan ekonomi secara efektif dan berkesan dapat dilakukan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, perkara itu hanya mampu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) yang memerintah sebelum ini gagal berkhidmat dengan baik untuk negara.
“Maka, rakyat semakin sedar bahawa PH atau PN tidak memerintah dengan baik dan tidak membawa suara rakyat yang sebenarnya.
“Pembangunan yang dilakukan perlu seimbang dalam merancang ekonomi negara dan disebabkan itu kestabilan politik amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Diskusi Johor bertajuk Kestabilan Masa depan bersama BN Comms.
Diskusi itu dihoskan oleh Ketua Koordinator Komunikasi BN, Shafiq Fhadly.
Abdul Rahman berkata, rekod BN ketika memerintah di Johor juga telah membawa pelbagai projek pembangunan yang ‘super’ di wilayah ini.
“Sebab itu kita bangunkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang mana terdapat beberapa stesen dan di Johor mempunyai tiga stesen iaitu Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
“Bukan setakat stesen sahaja, tetapi kita turut wujudkan pembangunan berorientasikan transit yang mana sepanjang jajaran HSR ini perancangan ekonomi melibatkan penduduk sekitar akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang yang telah membawa masuk pelaburan dari syarikat Aramco yang bernilai tinggi.
“Saya juga turut terlibat ketika itu yang mana ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.
“Tahu kenapa syarikat Aramco memilih Johor selain disebabkan ekonomi yang baik tetapi soal kestabilan politik di sini ketika itu.
“Pembangunan itu membawa pelaburan yang besar di Pengerang dan jika tiada kestabilan politik, tiada syarikat yang mahu melabur ke Johor,” katanya.
Berikutan itu, beliau yakin rakyat Johor akan kembali menyokong BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung 12 Mac ini.
“Alhamdulillah, kemana-mana saya pergi ke Johor ini ini, BN diterima dengan baik. Saya fikir rakyat Johor akan kembali menyokong BN serta mahu BN menjadi kerajaan negeri,” katanya.
Discussion about this post