Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM15 juta untuk pembinaan struktur kawalan dan sistem pam air bagi mengatasi kejadian banjir di kawasan Pengerang.
Memetik laporan portal Berita harian, Timbalan Menteri KASA, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan aliran air lancar sebagai langkah mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, perbincangan kelak akan membawa kepada penubuhan jawatankuasa bersama untuk melihat bersama masalah yang timbul, supaya saliran dapat dikenal pasti bagi peringkat awalan.
“Bagi peringkat bersifat jangka panjang, KASA akan memastikan peruntukan khas bagi kawasan Kampung Sungai Kapal dan kawasan berhampiran kejadian banjir untuk penyediaan pam air.
“Kita juga memberi tumpuan kawasan lain yang bukan dalam kawasan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) menerusi penyediaan pam mudah alih.

“Ia supaya apabila berlaku hujan lebat, air dapat disalurkan ke saliran sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Bayu Damai dan Kampung Sungai Kapal di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sementara itu, Azalina mencadangkan kerajaan mengkaji sama ada boleh mewujudkan pembiayaan bersama pihak syarikat yang melakukan pembangunan di kawasan Kampung Sungai Kapal.
“Isu ganti rugi mangsa banjir ini kalau nak suruh kerajaan sahaja tidak adil kerana ia isu alam sekitar.
“Sepatutnya dengan adanya projek ini, kesan alam sekitar menjadi lebih lancar dan ia memerlukan kerjasama antara syarikat antarabangsa dan kerajaan,” katanya.
Discussion about this post