Peruntukan RM3 bilion yang diunjurkan untuk membiayai perolehan vaksin COVID-19, seawal suku pertama tahun depan akan dimasukkan dalam perbelanjaan khas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata keperluan untuk mendapatkan ‘penawar’ wabak berkenaan akan diperuntukkan dalam Kumpulan Wang COVID-19.
“Butiran ini sebenarnya akan dijelaskan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dalam sesi penggulungan, namun ingin dimaklumkan bahawa RM3 bilion adalah anggaran.
“Ini dibuat berdasarkan unjuran harga yang ditawarkan kepada negara-negara, jadi kita tidak dapat nak beri suatu anggaran tepat pada masa ini.
“Keperluan mendapatkan vaksin ini akan dimasukkan dalam Kumpulan Wang COVID-19. Suatu perbelanjaan khas,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Isu peruntukan untuk vaksin COVID-19 menjadi tumpuan Ahli Parlimen yang berbahas minggu lalu kerana tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2021.
Beliau menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai perincian perolehan vaksin COVID-19 yang menjangkau nilai keseluruhan RM3 bilion, namun tidak diperuntukkan secara jelas dalam Belanjawan 2021.
Kepada soalan asal Foong Hin mengenai status pesanan vaksin dan senarai golongan yang bakal diberikan keutamaan, Khairy berkata kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan 60 peratus lagi bekalan vaksin bagi menepati sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok, iaitu 70 peratus daripada jumlah populasi negara.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan kerajaan sentiasa mengikuti rapat status pembangunan vaksin COVID-19 di seluruh dunia dan komited dalam membekalkannya seawal suku pertama atau kedua tahun depan.
“Ini bergantung kepada kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang akan memastikan sesuatu vaksin melepasi syarat-syarat ketat merangkumi soal keselamatan dan keberkesanan menerusi data-data ujian klinikal.
“Hanya selepas melalui proses ketat itu, barulah sesuatu vaksin akan diluluskan dan keputusan untuk tempahan akan dibuat.
“Imunisasi pula secara dasarnya bakal dibahagikan kepada tiga fasa keutamaan iaitu pertama, kumpulan barisan hadapan membabitkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi bukan KKM.
“Ini seperti polis, angkatan tentera, imigresen, penjara dan lain lain. Kedua, kumpulan berisiko tinggi seperti individu yang mempunyai ‘comorbid’ dan warga emas, manakala terakhir ialah kumpulan populasi dewasa lain.
“Perincian lanjut kumpulan-kumpulan ini sedang dibuat dan dijangka diumumkan seawal suku pertama tahun hadapan,” katanya.
Discussion about this post