Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyalurkan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk memperbaiki jambatan yang roboh di Pulau Pababag, Semporna.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut disalurkan sejurus meninjau keadaan banjir di kawasan Sabah pada Januari lalu.
“Pada 30 Januari lalu, ketika saya berada di Negeri Sabah bagi meninjau keadaan banjir di Daerah Pitas, saya telah dimaklumkan oleh Abdul Manan Indanan, Ketua UMNO Bahagian Semporna tentang kejadian jambatan dan jeti kayu yang telah roboh di Pulau Pababag, Semporna.
“Saya difahamkan pada ketika itu, terdapat 35 orang murid sekolah dan 2 orang guru dari kampung sekitar yang baru tiba di jeti untuk ke sekolah di SK Pababag sekitar jam 6.20 pagi,” kata Zahid dalam satu kenyataan media yang dikongsi di Facebooknya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pihak KKDW untuk berhubung dengan Pejabat Daerah Semporna untuk menyiasat sekaligus mengambil tindakan segera kejadian runtuh tersebut.
Hal ini kerana, jambatan dan jeti kayu tersebut merupakan laluan utama yang digunakan oleh penduduk untuk pergerakan harian termasuk menghantar anak-anak ke sekolah serta Tadika Kemas, Pulau Pababag.
“Kementerian telah menyerahkan Surat Arahan Pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna bagi Pembinaan Semula Jambatan dan Jeti Pulau Pababag dengan peruntukan yang disalurkan adalah sebanyak RM400,000.
“Saya berharap agar pembinaan jambatan dan jeti ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi membantu seramai sekurang-kurangnya 151 orang murid sekolah dan 35 orang murid Tadika Kemas ke sekolah serta penduduk kampung yang terjejas pergerakan harian mereka, akibat jambatan dan jeti yang telah runtuh tempohari,” tambah Zahid lagi.
Discussion about this post