Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob dilihat sebagai garis panduan atau dasar terbaik untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang lebih berdaya saing.
Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, Azhari Shaari berkata dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ RMK-12 dilihat sebagai satu dasar yang membolehkan semua rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.
“Dengan sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2025, rakyat Malaysia sudah pasti mampu mendapat kualiti kehidupan yang diimpikan,”
“Semua strategi dan inisiatifnya juga, sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.” Katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Tambah beliau, sebagai pemimpin di akar umbi beliau melihat usaha Perdana Menteri adalah menjadikan RMK-12 sebagai pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
“Pasca pandemik Covid-19 sudah pasti bidang ekonomi diberi tumpuan yang mana di dalam RMK-12, pengagihan ekonomi akan dilakukan melibatkan pembaharuan tertentu.” katanya.
Pembaharuan yang dijelaskan Perdana Menteri adalah untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Ianya turut memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Sehubungan dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia percaya bahawa RMK-12 dapat melonjakkan negara menjadi negara berpendapatan tinggi dan diharap tiada siapa yang tercicir dalam arus perubahan yang ditetapkan di dalam RMK-12.” katanya.
Discussion about this post