Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentang oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri baru-baru ini dilihat memberi keutamaan untuk menambahkan pendapatan, menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah dalam tempoh lima tahun mendatang ini.
Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata RMK-12 ini menunjukkan terjemahan seorang pemimpin tertinggi negara yang mendengar keluhan rakyat yang berkehendakkan kemakmuran kehidupan berkualiti serta negara mencapai pendapatan tinggi seiring pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang mampan.
“Sejajar dengan pelan lima tahun negara ini, pengenalan konsep Keluarga Malaysia dalam perancangan RMKe-12 adalah sangat wajar pada waktunya.
“Matlamat YAB Perdana Menteri amatlah jelas bahawa negara ini tidak akan membangun dengan jaya jika kita tidak ketepikan segala perbezaan di antara rakyat demi perpaduan bersama.” katanya dalam satu kenyataan media.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga berkata kejayaan Keluarga Malaysia bukanlah kejayaan buat individu tetapi kejayaan setiap rakyat Malaysia. Demi menjayakan Keluarga Malaysia untuk bangkit semula dari kemelut COVID-19, usaha setiap rakyat Malaysia hendaklah menjurus kepada menterjemahkan konsep ini kepada rancangan dan tindakan yang konkrit. Hanya dengan inklusitiviti saja, kita mampu menjayakan Keluarga Malaysia.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO berharap agar perancangan sederhana tetapi progresif, berani dan realistik itu hendaklah diterjemahkan secara wajar dan bijaksana dalam menguruskan perancangan strategik RMKe-12 sehingga rakyat benar-benar mendapat manfaatnya dan ekonomi negara kembali pulih.
“Paling penting ialah sembilan fokus utama di bawah RMKe-12 ini benar-benar memberi kesejahteraan rakyat, kesejahteraan kesihatan awam serta kesejahteraan ekonomi dalam Program Pemulihan Negara, moga rakyat Malaysia terus dilindungi di bawah satu gagasan Keluarga Malaysia.” katanya.
Discussion about this post