Kerajaan sukar membentang dan meluluskan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti berikutan Jemaah Menteri juga terdiri daripada ‘katak politik’, sindir veteran UMNO Tan Sri Shahrir Samad.
Shahrir berkata, 39 ahli Parlimen yang berada di Dewan Rakyat ketika ini terdiri daripada mereka yang telah lompat parti.
“Kerana apa mereka lompat; sama ada mereka tidak mahu didakwa ataupun mereka dapat jawatan yang lebih baik dari semasa mereka berada dalam parti asal mereka,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau turut memberi contoh Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapha Mohamed merupakan pemimpin politik yang tidak didakwa meskipun menerima dana daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, turut lompat parti.
“Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Dr Latif Ahmad dapat jadi menteri kanan atau menteri kerana mereka lompat masuk Bersatu. Hamzah pegang jawatan menteri yang kanan.
“Dr Latif sudah terlalu lama berjawatan sebagai timbalan menteri dan sebelum PRU14 pun, telah menjadi ahli Parlimen biasa. Selepas lompat parti, baru jadi menteri penuh,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pembentangan RUU itu ditangguhkan dan Jemaah Menteri tidak bersetuju membentangkannya pada sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April.
Sebelum ini dilaporkan, kerajaan mahu menyelesaikan perkara penting seperti definisi lompat parti dan meminda Perlembagaan Persekutuan sebelum membentangkan RUU itu.
Sementara itu, melalui hantaran berasingan Shahrir berkata menteri Bersatu iaitu Hamzah, Mustapha, Latif dan Mas Ermieyati tidak bersetuju dengan tafsiran ‘lompat parti’.
“Iyalah, semua pun katak politik, mana nak setuju dengan undang-undang mengharamkan ‘katak politik’,” katanya.
“Inilah nasib kerajaan memorandum persefahaman (MOU).
“Nak laksanakan item (perkara) penting bawah MoU pun susah. Tapi jawatan menteri nak pegang sampai habis tempoh Parlimen ke-14,” sindirnya.
Discussion about this post