Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengakui setelah apa yang berlaku sepanjang proses untuk meluluskan RUU, negara sebenarnya telah menunjukkan proses kematangan dalam politik yang berlaku.
“Apa yang berlaku sebenarnya membayangkan proses kematangan demokrasi yang sedang berlaku di negara kita sejak pilihan raya umum (PRU-14) yang lepas,” kata Reezal menerusi posting di Facebooknya baru-baru ini.
Tambahnya, Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 11 April 2022 lalu adalah detik yang penting dan bermakna kepada corak politik tanah air.
Ini kerana, draf asal yang dicadangkan merujuk kepada usaha mencadang dan memaktubkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 telahpun dibawa untuk pemerhatian khusus dan spesifik sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas.
Reezal juga berpendapat, jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil parti politik yang arif tentang semua bidang ilmu adalah satu hal yang menarik dan wajar dihargai.
Peranan utama yang bakal diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) turut disertai oleh wakil parti yang mempunyai pengalaman serta lebih memahami had, batas dan keperluan yang berkaitan.
“Keperluan kepada pindaan Perlembagaan atau apa sahaja remedi perundangan bersesuaian dalam menangani isu lompat parti sememangnya wajar diperhalusi dalam masa terdekat ini.
“Mereka yang arif dan mahir dalam aspek perundangan dan Perlembagaan wajar disatukan dibawah khemah besar perbincangan berkaitan akta ini,” katanya.
Selain itu, Reezal turut mengakui usaha RUU adalah usaha yang luar biasa kerana merangkumi semangat diskusi, undangan, perbincangan dan musyawarah diusahakan oleh Kerajaan.
Kesungguhan dan komitmen Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), JPM juga amat jelas dan ketara berikutan lebih kurang 12 sesi pertemuan yang diadakan bersama pemegang taruh untuk memberikan impak positif pada keputusan yang ditetapkan kelak.
“Sidang Khas Parlimen yang diadakan tempoh hari tidak mendatangkan kerugian apa pun kepada mana-mana pihak. Malahan sidang tersebut menjadi sesi ‘maklum balas peringkat tertinggi’ yang boleh dan mampu diusahakan.
“Liputan langsung secara dalam talian diikuti ramai rakyat yang berminat sehinggalah detik keputusan akhir ini dimuktamadkan oleh Speaker,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Reezal memetik mengenai barometer kepercayaan rakyat kepada apa sahaja isu yang bernuansa politik yang cukup rendah, dapat ditangkis dengan apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat lalu.
Sekaligus menzahirkan elemen tanggungjawab yang tinggi berikutan lebih 65 pembahas telah berkongsi pandangan dan membuka banyak gagasan yang wajar diteliti.
Discussion about this post