Sebanyak 876 kesalahan membabitkan 142 majikan direkodkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Penginapan Pekerja pada 2 hingga 5 Mac lepas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata operasi itu membabitkan pemeriksaan ke atas 618 penginapan disediakan majikan kepada 5, 410 pekerja terdiri daripada 2,281 pekerja tempatan dan 3,129 pekerja asing.
Beliau berkata operasi itu dijalankan mengikut Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja) Akta 446 (Pindaan) 2021 (EO446) yang dikuatkuasakan mulai 26 Feb lepas bertujuan memutuskan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja.
“Majikan di Sabah perlu mematuhi keperluan minimum di bawah EO 446 ini seperti perakuan penginapan, bilangan pekerja dalam sesebuah rumah, rumah selamat diduduki dan diluluskan pihak berkuasa tempatan, kemudahan asas lain seperti tandas, dapur, tilam, kipas, katil dan almari berkunci bagi setiap pekerja.
“Hari ini, kami turun untuk melihat sendiri sejauh mana pematuhan arahan itu. Kami dapati memang banyak yang perlu diperbetulkan oleh pemaju khususnya dalam penyediaan penginapan kepada pekerja mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu di dua tapak pembinaan semalam.
Hadir sama Pengarah JTK Sabah Wan Zulkifli Wan Setapa dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah Dr Mohd Ali Hindia.
Sementara itu, Yakub yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perburuhan negeri itu menggesa majikan mematuhi EO 446, dan tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan ingkar terhadap arahan serta syor pematuhan yang dikeluarkan.
“Ini termasuk berdepan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaunn sehingga RM100,000 untuk setiap kesalahan,” katanya.
Discussion about this post