Tuduhan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong kononnya calon-calon MCA yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu adalah satu tuduhan yang melampau.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Chan San San ia adalah satu dakwaan yang tidak berasas.
Malah tuduhan melulu oleh Chin Tong itu adalah satu taktik kotor beliau untuk memburuk-burukkan MCA.
“Semua calon Barisan Nasional (BN) serta MCA dipilih melalui proses pemilihan yang ketat dan teliti serta memenuhi kelayakan untuk bertanding.
“Chin Tong tidak tahu-menahu mengenai proses kelayakan calon MCA, tetapi membuat dakwaan yang tidak berasas mengenai pihak lawan.
“Tindakan Chin Tong sama seperti ‘cybertrooper jahat’ dan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai Pengerusi DAP Johor,” katanya.
Berikutan itu, San San mencabar calon DAP bagi DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung untuk berdebat dengannya esok pada jam 8 malam dalam Bahasa Melayu di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang.
“Topik perdebatan akan dimuktamadkan melalui penyelarasan di antara wakil kedua-dua pihak.
“Saya harap Cai Tung berani menyahut cabaran untuk berdebat supaya pengundi dapat menyaksikan tahap keupayaan calon DAP bertutur dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan Chin Tong mengatakan bahawa calon DAP lebih fasih bertutur dalam Bahasa Melayu, maka tiada lagi alasan Cai Tung untuk menolak cabaran debat ini.
“Jika tidak, ia akan membuktikan bahawa Chin Tong hanya bercakap kosong sahaja,” katanya.
Discussion about this post