Pengalaman memikul beberapa jawatan penting menyebabkan beliau sudah biasa berhadapan pelbagai isu bagi membantu masyarakat serta menyelesaikan masalah yang timbul.
Sungguhpun begitu, Chan San San tidak pernah duduk selesa kerana bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan perkara biasa malah memerlukan hati yang kental serta sokongan daripada keluarga.
Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya itu memberitahu, justeru, beliau memanfaatkan sepenuhnya tempoh 14 hari untuk berkempen dengan sebaik mungkin.
“Saya pernah memikul tugasan sebagai Ketua Kampung Plentong selama dua tahun selain pernah menjadi Ahli Majlis di dua Zon berbeza selama dua penggal.
“Oleh itu, saya berkebolehan menyelesaikan permasalahan penduduk dan dengan sokongan pengundi, saya mungkin boleh mempertingkatkan perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat,” katanya.
San San, 42 berkata, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, beliau mahu fokus kepada meningkatkan ekonomi penduduk setempat demi kesejahteraan masyarakat dan negeri Johor.
“Ia berikutan usaha meningkatkan ekonomi penduduk adalah penting disebabkan sebahagian masih belum pulih sepenuhnya daripada impak pandemik yang melanda negara sejak 2020.
“Ini terutama dalam soal pendapatan, pekerjaan dan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.
“Saya juga adalah salah seorang daripada rakyat jelata dan pernah dihimpit pelbagai permasalahan sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melihat kawasan DUN Johor Jaya berpotensi untuk dibangunkan dengan projek yang membawa manfaat kepada penduduk setempat.
“Saya yakin menerusi pembangunan berkenaan, tawaran pekerjaan bagi penduduk sekitar akan meningkat sekaligus mengurangkan masalah pengangguran terutama dalam kalangan golongan muda.
“Sejak hari penamaan calon saya hanya mampu tidur ayam iaitu kira-kira empat jam kerana selain memiliki jadual kempen yang padat di samping saya juga perlu mengurus keluarga.
“Tetapi, saya bersyukur kerana keluarganya memahami apa yang diharungi sebagai calon dan sentiasa menyuntik semangat supaya dia melakukan terbaik sepanjang tempoh berkempen.
Bagaimanapun, beliau berserah kepada pengundi untuk menilai berdasarkan cara seseorang berkhidmat.
Discussion about this post