Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengeluarkan kenyataan penafian mengenai isu dakwaan beliau telah meletakkan jawatannya.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan,” tegas Sulaiman melalui kenyataan media yang dikongsi di ruang Facebook rasminya.
Sulaiman berkata, dakwaan ini hanyalah sekadar tuduhan yang mempunyai niat menganggu kestabilan Kerajaan Negeri Melaka dibawah pimpinan beliau selepas menang Pilihan Raya Negeri ke 15 (PRN15).
Dakwaan ini juga dikatakan sengaja ditimbulkan ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri Melaka sedang memperkukuhkan lagi semua kudrat yang ada untuk fokus merampas kembali kerusi parlimen yang tewas pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) lalu.
Dalam pada itu, beliau yang kini berada di Sarajevo, Bosnia, dan Herzegovina juga sedang berusaha menunaikan aku janji-aku janji yang telah dilafazkan dengan melaksanakan program-priogram pembanbunan negeri Melaka bersama EXCO dan anggota pentadbiran Kerajaan negeri.
“Ketika ini saya mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022, turut hadir bersama dengan saya ialah Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh sambil melihat peluang-peluang pelaburan di sini serta untuk menarik pelaburan asing ke negeri Melaka,” ujar Sulaiman.
Sulaiman turut menyeru pada ahli partinya agar sentiasa muhasabah untuk menguatkan parti serta fokus kepada usaha dalam memenangi PRU15 akan datang.
“Kita punya agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini,” tegas Sulaiman lagi.
Discussion about this post