Calon Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy yang menang dengan majoriti 2,123 ke atas pencabar terdekatnya daripada Parti Warisan Sabah – Warisan berjanji tidak akan menghampakan mandat dan harapan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
“Saya berasa amat gembira dan berbesar hati (atas kejayan ini) tapi dalam masa yang sama ini merupakan satu amanah dan satu tanggungjawab besar yang perlu saya pikul.
“Saya tidak akan menghampakan mandat dan harapan pengundi Tanjung Batu… InsyaAllah saya berusaha sebaik daya saya untuk menunaikan apa yang mereka mahukan. Saya akan pastikan harapan dan aspirasi rakyat Tanjung Batu tetap terbela,”katanya pemimpin Barisan Nasional (BN) Umno itu.
Andi Muhammad Suryady mengakui beliau tidak terfikir akan memperoleh jumlah undi yang agak besar itu memandangkan persaingan sengit pihak lawan.
Namun, beliau percaya rakyat dan pengundi memilih untuk membuat satu perubahan yang disifatkan beliau amat baik kerana secara dasarnya, keputusan di DUN lain juga menyaksikan rakyat memilih BN dan Perikatan Nasional (PN) serta jelas menolak Warisan dan Pakatan Harapan.
Dalam masa yang sama, beliau juga menyifatkan kerja keras berkempen selama 14 hari amat berbaloi yang juga hasil usaha keras jentera beliay sehingga akhirnya menawan kerusi DUN Tanjung Batu.
“Tahniah dan terima kasih kepada jentera dan semua yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung dalam kempen saya kerana tanpa mereka saya tidak akan sampai ke peringkat ini,”katanya.
Beliau berharap usaha dan kerjasama itu akan berterusan kerana niat dan tujuannya hanyalah untuk memastikan pengundi Tg Batu mendapat kesejahteraan dan pembelaan sewajarnya.
Discussion about this post