Biarpun diletakkan sebagai calon “underdog” kerana menentang sepupunya yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, namun calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi N56 Norazman Utoh Naim, tidak akan mudah mengaku kalah untuk berkempen bermati-matian demi meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September depan.
Norazman menegaskan pertandingan sesama ahli keluarga dalam PRN bukanlah sesuatu perkara yang asing di Semporna sekali gus menyajikan senario politik berbeza dengan tempat lain.
Malah, Norazman Uton yang juga Naib Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Semporna berkata selain Mohd Shafie, beliau juga berhadapan dengan tiga calon lain iaitu Mad Jalie Lais dari Parti Cinta Sabah (PCS); Mohammad Ramzan Abdu Wahab dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Datu PG Ahmad Datu Ali Alam dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
“Kalau kita lihat dikalangan calon-calon yang bertanding di ketiga-tiga Dun di sini (Sulabayan, Senallang dan Bugaya) semuanya saling mempunyai hubungan kekeluargaan.
“Di Semporna ini keunikan dia, tiada masaalah dari segi hubungan kekeluargaan, kami cuma berlainan ideologi politik, kita membawa haluan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Norazman berkata biarpun pertama kali bertanding namun beliau bersama jentera PN dan BN akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih sokongan pengundi.
“Kita akur dan kena terima hakikat bahawa lawan yang kita hadapi ini bukan calang-calang (Ketua Menteri Sabah) dan buktinya tumpuan media diberikan kepada Dun ini.
“Kita akan bekerja sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh untuk cuba menewaskan parti Warisan pada PRN kali ini,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Mohd Shafie memenangi kerusi Dun Senallang dalam pertandingan satu lawan satu dengan menewaskan Datuk Sri Nasir Tun Sakaran Dandai dari Barisan Nasional dengan undi majoriti 5301 undi.
Discussion about this post