Kementerian Kewangan akan membantu Melaka memangkinkan perubahan ekonomi menerusi sektor pelancongan baharu melibatkan tiga pulau di negeri ini, iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol, yang akan diwartakan sebagai Taman Laut Negara.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pihaknya menyokong usaha berkenaan kerana ia merupakan antara langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada hujung bulan ini.
“Hari ini, saya turun ke pulau-pulau di Melaka untuk melihat bagaimana kerajaan Persekutuan boleh membantu memangkinkan perubahan ekonomi kerajaan negeri Melaka, ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari serta berproduktiviti dan mempunyai nilai tambah terhadap persekitaran sosial dan tadbir urus.
“Secara lumrahnya Melaka terkenal dengan ekonomi pelancongan darat berbanding pelancongan laut, namun dengan cadangan atau usaha yang sedang dilakukan untuk mewartakan tiga pulau sebagai Taman Laut Negara, akan memberi satu tarikan baharu kepada pelancong,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke beberapa pulau di sini termasuk Pulau Undan, pada Khamis.
Beliau berkata, pewartaan sebagai Taman Laut Negara bakal menjadikan pulau-pulau itu sebagai taman laut pertama di pantai barat di selatan tanah air.
Discussion about this post