EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid dalam hantaran Facebooknya semalam menulis agar kerajaan sekarang segera mengembalikan suara rakyat.
Hal ini berikutan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mewartakan pindaan ordinan darurat yang membolehkan Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan belanjawan tambahan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri semasa tempoh darurat.
Beliau berpandangan bahawa pindaan ini secara langsung telah melanggar prinsip demokrasi yang secara bijaksana telah meletakkan kebertanggungjawaban Kerajaan terhadap sidang parlimen.
“Sekiranya parlimen telah memansuhkan peranannya untuk menyemak perancangan, tindakan dan keputusan kerajaan yang memerintah terutamanya melibatkan perbelanjaan duit negara, maka apa ertinya demokrasi berparlimen di negara kita ini” kata beliau.
Tambah beliau lagi, dalam sejarah demokrasi negara tidak pernah berlaku Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggunakan duit negara mengikut budi bicaranya sendiri tanpa perlu merujuk kepada sesiapa dalam apa jua situasi.
“Dalam soal membelanjakan duit rakyat dan hasil kerajaan, tidak sewajarnya kerajaan dilepaskan daripada proses penelitian yang ketat tidak kira serumit atau sesukar mana sekalipun keadaan yang dihadapi oleh negara” katanya.
Mustafa Shah yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar itu berkata keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan PN telah putus harapan terhadap kebijaksanaan sidang dewan perundangan serta menganggap sidang tersebut bukan lagi wadah terbaik bagi membincangkan penyelesaian terhadap kemelut rakyat
“Jika benar Kerajaan memerlukan dana tambahan untuk mengatasi wabak COVID-19, maka bentangkanlah semua di parlimen melalui RUU Perbekalan Tambahan”
“Saya percaya bahawa ahli-ahli parlimen pasti akan menyokong dan undi setuju sekiranya perancangan tersebut munasabah dan amat diperlukan, malah mampu untuk memberi tambah nilai yang lebih menyeluruh” katanya.
Discussion about this post