Perutusan Khas YAB Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin yang diadakan pada 4 Ogos 2021 jam 12.30 tengahari tadi memberikan kesan yang lebih teruk kepada Malaysia terutamanya apabila mengajak usul undi tidak percaya terhadap beliau sebagai Perdana Menteri dilakukan pada Persidangan Parlimen yang dijadualkan bulan September ini.
Di dalam tempoh hampir sebulan ini membuatkan Malaysia menjadi sebuah negara yang tidak diyakini oleh pelabur luar terutamanya akibat kerajaan yang tidak stabil dan terbukti hilang majoriti. Sudah tentu pelanjutan masa yang ditempohkan ini akan semakin menenatkan Malaysia bukan sahaja dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat CoVID19 ini, ia juga memberikan kesan ekonomi yang semakin teruk.
Oleh itu, semua Ahli Parlimen harus mengambil tanggungjawab sesegera mungkin untuk krisis politik hari ini dapat terjawab seterusnya dapat diselesaikan. Diingatkan bahawa krisis ini berlaku akibat tindakan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sendiri yang mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat yang bercanggah antara Kerajaan Perikatan Nasional dan Titah Tuanku Yang Di-Pertuan Agong adalah suatu perkara yang dilihat tidak menghormati perlembagaan.
Tindakan Kerajaan dengan sengaja telah ingkar dan melanggar Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Tuanku Yang Di-Pertuan Agong telah menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang mana hari ini menjadi rasa tanggungjawab kepada ahli parlimen lain menyembah taat setia kebawah Duli Tuanku Yang Di-Pertuan Agong dengan menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.
Sudah tentu keadaan politik hari ini akan mengheret *kerisauan rakyat jika berlakunya “jual beli” ahli parlimen sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yasin* sebelum berlakunya usul undi percaya terhadap beliau sebagai Perdana Menteri.
Bagi mematangkan lanskap demokrasi berparlimen di Malaysia kali ini dengan secara automatiknya menghentikan proses “jual beli” ahli parlimen , harus *dicadangkan supaya sebarang undian usul hendaklah dilaksana dengan mengambil keputusan mengikut parti yang mewakil kesemua wakilnya.* Ini dilihat lebih adil dan mengukuhkan kestabilan politik Malaysia. Tidak perlu lagi undian secara perseorangan ahli parlimen bagi tujuan usul yang harus diundi, lebih-lebih lagi soal undian usul percaya sebagai Perdana Menteri. Biar parti itu sendiri yang menentukan undian bagi mewakili kesemua ahli parlimennya.
Sebagai ahli UMNO, kami mengharapkan Ahli Parlimen yang mewakili UMNO agar memilih untuk bersama keputusan parti yang telah diputuskan secara bersama dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2020 lepas dan juga keputusan parti yang telah ditetapkan melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021 yang menetapkan untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dengan asas bagi memihak kesetiaan kebawah Duli Tuanku Yang Di-Pertuan Agong.
-A’ZLAN HJ. ABU BAKAR-
Ketua Pemuda UMNO Petaling Jaya
5 Ogos 2021
Discussion about this post