Hutan paya laut memainkan peranan penting sebagai pelindung semula jadi kepada pesisiran pantai daripada hakisan tanah, impak pukulan ombak yang kuat dan angin kencang malah merupakan habitat semula jadi bagi pelbagai spesies flora dan fauna, serta merupakan kawasan pembiakan pelbagai jenis hidupan marin seperti ikan, udang, ketam dan kerang-kerangan.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah harini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Hutan paya laut menyediakan sumber ekonomi kepada masyarakat sekitar melalui aktiviti ekopelancongan, perikanan, industri arang kayu dan produk-produk lain berasaskan hutan paya laut.”
“Selain itu, ekosistem hutan paya laut juga merupakan penyerap karbon yang sangat efisien berbanding habitat dan ekosistem lain.”katanya melalui laman Facebooknya hari ini.
Shamsul turut menyatakan Kerajaan Persekutuan memberi perhatian yang serius tentang usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya laut negara demi kesejahteraan rakyat dan keseimbangan alam sekitar melalui pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara.
Katanya, sejak pelaksanaan program ini pada tahun 2005 hingga kini, lebih daripada 6.8 juta pokok daripada spesies bakau dan hutan pantai telah ditanam melibatkan seluas 3,000 hektar kawasan hutan paya laut dan hutan pantai di seluruh negara.
“Bagi tahun 2021, sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan di bawah program ini.”
“Melalui peruntukan ini, pelbagai projek dapat dilaksanakan, antaranya pembinaan struktur wave attenuator untuk pemuliharaan hutan paya laut di Sungai Kilim, Langkawi, Kedah; pemasangan struktur pemecah ombak bagi pengekalan kawasan hutan paya laut di Tanjung Piai, Johor; kajian penilaian outcome Program serta aktiviti pemantauan kawasan hutan paya laut dan hutan pantai asli dan tanaman melalui penggunaan unmanned aerial vehicle (UAV) dalam menyahut seruan Kerajaan dalam era digital Revolusi Industri 4.0.” katanya.
Shamsul turut menyatakan antara kejayaan terbesar dalam pelaksanaan program ini ialah apabila kawasan-kawasan yang berjaya dipulihkan tersebut diwartakan sebagai hutan simpanan kekal (HSK) oleh kerajaan negeri.
Menurut Kompendium Perangkaan Alam Sekitar Malaysia 2020, sehingga tahun 2018, seluas lebih kurang 334,000 hektar atau 58% daripada kawasan hutan paya laut di seluruh Malaysia telah diwartakan sebagai HSK.
“Saya turut difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor juga sedang giat melaksanakan proses pewartaan kawasan hutan paya laut baharu sebagai HSK melibatkan keluasan lebih daripada 4,000 hektar.”
“Syabas diucapkan dan saya berharap usaha ini akan menjadi contoh kepada kerajaan negeri yang lain untuk mewartakan lebih banyak kawasan hutan paya laut sebagai HSK.” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul menyatakan bahawa masyarakat komuniti pinggir pantai merupakan direct beneficiaries kepada usaha-usaha pemuliharaan ekosistem hutan paya laut.
“Kebergantungan komuniti terhadap sumber hutan paya laut dan pinggir pantai telah terbukti sejak zaman-berzaman, baik dalam bentuk sumber makanan, bahan api serta perlindungan daripada ancaman angin, ombak dan ribut.”
Di samping, NGO turut berperanan dalam usaha menggalakkan dan menarik lebih banyak penyertaan daripada sektor swasta dan individu untuk bersama-sama melindungi, memelihara dan memulihara ekosistem pesisiran pantai seluruh negara.
“Justeru, saya menggalakkan lebih banyak bentuk usaha sama dilaksanakan selaras dengan Matlamat SDG ke-17 iaitu Partnerships bukan sahaja dengan pihak NGO, komuniti setempat dan pihak swasta tetapi juga melalui pemantapan penyelidikan dan pembangunan ilmu bersama universiti-universiti dan badan-badan penyelidikan kerajaan dan swasta.”katanya.
Discussion about this post