PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 pagi, 14 hingga 27 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, ia juga mengambil kira peningkatan dan penularan kes yang berlaku, termasuk di Klang dan Petaling, selain pertambahan jangkitan di Gombak serta daerah lain.
Beliau berkata, berikutan penguatkuasaan PKPB itu, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan.
Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, beliau berkata, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
“Hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, TADIKA, TASKA, pusat tahfiz, taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)di seluruh negeri Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ( 12 Oktober 2020) ini sehingga 26 Oktober 2020 serta melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas yang akan berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini, 13 Oktober hingga 26 Oktober 2020.
Discussion about this post