Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas dakwaan bahawa UMNO mahu ‘menghancurkan’ Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran desakan agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 wang caruman sekali lagi.
Beliau sebaliknya mempersoalkan kembali siapa sebenarnya yang mahu ‘memusnahkan’ KWSP setelah membuktikan UMNO amat menjaga kepentingan badan tersebut ketika pemerintahannya.
“Pada tahun 2011 semasa saya PM (Perdana Menteri), syarikat Lebuhraya PLUS telah distruktur semula dan akhirnya menjadi 51 peratus milik Khazanah Malaysia dan 49 peratus milik KWSP – bukan milik pihak swasta lagi.
“Lepas itu, kerajaan BN bekukan sebarang kenaikan kadar tol bagi semua lebuhraya tol milik PLUS dengan membayar pampasan setiap tahun kepada pemilik PLUS – termasuk KWSP.
“Tapi masuk kerajaan PH (Pakatan Harapan) dan Menteri Kewayangan dorang (Menteri Kewangan era PH), mereka hapuskan pampasan tahunan dibayar kerajaan kepada KWSP bagi PLUS dengan memberi diskaun tol 18 peratus tapi melanjutkan tempoh konsesi tol 20 tahun lagi dari tahun 2038 hingga ke tahun 2058 biarpun janji mereka adalah hapuskan semua tol sebaik sahaja menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” kata Najib dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Beliau membuat hantaran tersebut dengan merujuk kepada laporan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendakwa pemimpin Umno juga ‘hampir memusnahkan’ Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kakitangan awam apabila RM4 bilion lesap setelah dipinjamkan kepada 1MDB.
Discussion about this post