Pengerusi Barisan Nasional melahirkan rasa kesyukuran dan menjunjung kasih perkenan tuanku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelaksanaan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan bermula hari ini.
Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Sejajar pengumuman itu, beliau sekali lagi mengulangi permintaan agar umat Islam jangan sesekali mensia-siakan perkenan, keprihatinan dan kepercayaan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada kita semua.
” Kita perlu bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita perlu patuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam urusan Solat Jumaat” tulisnya lagi melalui facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas pengumuman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk membenarkan perluasan kapasiti jemaah solat Jumaat dan solat fardu kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid, dewan solat utama, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa esok.
Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataannya semalam, berkata aktiviti tazkirah sebelum solat Jumaat juga dibenarkan diadakan selama 30 minit di masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
“Semua ketetapan ini berkuat kuasa bermula dengan solat Jumaat pada 5 Feb tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Mohd Ajib berkata perluasan kapasiti jemaah solat Jumaat dan solat berjemaah berkenaan adalah bagi kesemua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Perluasan itu adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Mohd Ajib turut mengajak umat Islam untuk berdoa dan bermunajat agar penularan wabak COVID-19 dalam negara segera berakhir.
Discussion about this post