Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menegaskan bahawa tiada siapa yang akan kebal dari undang-undang jika membuat kesalahan walaupun ianya seorang hakim.
“Mengikut perlembagaan, pembagian kuasa antara tiga cabang kerajaan iaitu eksekutif, legislatif, dan kehakiman tidak tertakluk untuk mereka melakukan jenayah termasuk rasuah.
“Jika hakim bunuh orang, takkan polis tidak boleh siasat? Samalah jika hakim terima rasuah. Tiada siapa yang kebal dari undang-undang,” kata Isham menerusi posting di Facebooknya.
Isham mengeluarkan kenyataan ini berikutan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali meluahkan rasa kesal kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan keatasnya dan mendakwa ianya adalah serangan agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.
Menurut Isham, badan kehakiman merupakan perkhidmatan badan awam dan sekaligus menjadikan seorang hakim juga termasuk dalam pegawai badan awam.
Mengikut Akta SPRM sekiranya hakim terlibat dengan rasuah, dia juga boleh disiasat dan didakwa begitu juga dengan Ahli Parlimen.
“Dalam bahasa mudah, takkanlah bila hakim terima rasuah dia tidak boleh disiasat atau didakwa dan terlepas begitu sahaja sebab bila disisasat itu kononnya adalah ‘campurtangan’ eksekutif dalam kehakiman?” soal Isham.
Isham juga berkata, hakim adalah orang yang sepatutnya perlu disiasat dengan lebih ketat dan terperinci sekiranya mempunyai dakwaan rasuah demi menjaga nama baik dan reputasi badan kehakiman negara.
Hal ini kerana, dakwaan rasuah seperti ini akan membuatkan rakyat tidak percaya kepada pengadilan hakim dan sistem kehakiman negara serta sukar untuk mengembalikan kepercayaan rakyat sekaligus menjadikan negara kucar-kacir.
Selain itu, Isham juga menjelaskan pembahagian kuasa yang dibuat adalah untuk menyemak-imbang antara satu sama lain. Sekiranya eksekutif membuat kesalahan, kuasa hakim untuk menyemak dan jika hakim didapati menerima rasuah, kuasa pada eksekutif untuk menyiasatnya.
“Bacalah sikit pasal perlembahaan dan pembahagian kuasa ini, ada banyak buku yang saya boleh cadang. Locke, Montesquieu atau Dicey. Itu baru classic,” ujar Isham lagi.
Discussion about this post