Demokrasi dalam UMNO masih subur walaupun keputusan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini tidak menyebelahi parti itu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Memetik laporan UMNO Online, Puad menegaskan, UMNO adalah parti perjuangan yang didukung oleh ahli-ahli setia dari serata akar umbi.
“UMNO adalah parti perjuangan, UMNO lahir kerana perjuangan dan UMNO terus didukung oleh pejuang-pejuang yang setia akan perjuangannya. Maka sebab itulah UMNO tak boleh dikuburkan ataupun ditalkinkan oleh sesiapa kerana ia adalah parti akar umbi.
“Percayalah UMNO akan bangkit, ini adalah tempoh pemulihan maka kita gunakan tempoh pemulihan maksimum ini untuk sama-sama berjuang bagi memastikan UMNO kembali relevan dan diterima oleh rakyat terutamanya di Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-16,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pengenalan calon-calon pemilihan UMNO peringkat pusat yang telah diadakan di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah dan Selangor.
Mengulas lanjut katanya, tidak timbul persoalan apabila jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti tidak dipertandingkan maka kononnya dianggap seolah-olah tidak ada demokrasi.
“Walaupun UMNO kalah teruk dalam pilihan raya baru-baru ini tetapi ia semakin membakar semangat ahli untuk bangkit dan inilah yang dibuktikan melalui suasana pemilihan kali ini,” ujarnya lagi.
Beliau yang sudah kali keempat bertanding MKT merasakan pemilihan parti kali ini adalah paling meriah sepanjang pengalamannya bertanding.
“Setakat ini saya dah pergi semua negeri yang mengadakan majlis pengenalan calon ini dan kehadiran adalah luar biasa malah kebanyakan tempat, dewan penuh, ada yang tak boleh masuk ke dalam dewan.
“Jadi pada saya minat yang tinggi di kalangan ahli untuk bertanding dan juga untuk hadir memberikan sokongan kepada calon-calon yang mereka nak pilih menunjukkan bahawa UMNO tetap subur dengan semangat perjuangan,” katanya lagi.
Discussion about this post