UMNO menafikan penyebaran satu surat palsu mendakwa pemilihan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri Melaka belum dimuktamadkan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata surat berkenaan jelas mengandungi maklumat yang salah dan mengelirukan.
“Mana ada surat kepada yang dialamatkan dan salinan ‘sk’ (salinan kepada) sama orangnya.
“Tentulah surat ini palsu. ‘Goblok’ (tidak bijak) betul yang buat surat ‘fake’ ini,” katanya hari ini.
Hal itu turut dinafikan oleh Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
“Berhati hati. Surat yang sedang tular di sosial media atas perkara KEKELIRUAN ISU CALON KETUA MENTERI MELAKA adalah PALSU.
“Ia dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau tindakan yang dilakukan ini jelas menampakkan kegusaran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bimbang atas pemilihan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka oleh BN.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan rasmi BN atau UMNO hanya dikeluarkan melalui laman rasmi BN dan UMNO Malaysia sahaja.
Terdahulu, tersebar sepucuk surat menggunakan kepala surat UMNO dan Setiausaha Agung, memaklumkan wujud kekeliruan dalam menamakan Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Kandungan surat palsu itu antara lain menyebut penamaan Sulaiman bagi jawatan terbabit bukan sesuatu yang muktamad.
Discussion about this post