Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah meluangkan masa untuk meninjau perkembangan pembinaan Surau Insaniah Taman Kota Tampan di Lenggong baru-baru ini.
Menurut Shamsul, surau tersebut merupakan salah satu tarikan pelancong ke Lenggong kerana rekabentuk kubah yang dibina hampir menyamai dengan kubah makam nabi di Masjid Nabawi.
Tarikan pelancong yang datang ke Lenggong juga bersesuaian dengan Lenggong Geopark dan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Katanya, ketika ini pembinaan surau yang baharu dan lebih besar untuk menggantikan surau yang lama sedang dibina dan dijangka siap awal daripada jadual pembinaan iaitu sebelum akhir tahun 2022.
Ini kerana, struktur surau lama yang tidak kukuh tidak dapat menampung rekabentuk yang baharu.
“Oleh kerana kedudukan tapak di kawasan lembab dan berair, struktur asal binaan surau ini sangat tidak kukuh bagi menampung rekabentuk baru dengan kubah yang lebih besar, tempat wuduk, dinding dan syiling baru yang lebih tinggi,” ujar Shamsul menerusi posting Facebooknya baru-baru ini.
Selain itu, Shamsul juga mengatakan surau baru ini dapat menampung lebih 250 orang jemaah berbanding surau lama yang hanya mampu menampung 100 orang jemaah sahaja.
Dengan pertambahan kehadiran jemaah ini ternyata satu kepuasan dan kelegaan bagi penduduk di kawasan tersebut dan dalam masa yang sama akan dapat menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Lenggong Geopark.
“Mari kita doakan agar pembinaannya lancar. Ia lebih baik kerana setidaknya kita memperoleh pahala daripada kita membawa dan menyebarkan berita yang tidak benar,” ujarnya.
Discussion about this post