Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan agar tidak ‘mengkambing hitamkan’ pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam isu laporan yang dibuat terhadap parti MUDA pimpinannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta Presiden MUDA itu yang ‘baru sahaja turun ke Johor’ semalam supaya berhenti berbuat demikian.
“Namun begitu, apabila terdapat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang tidak mengikut prosedur, maka menjadi tanggungjawab pihak PDRM untuk membuka kertas siasatan. ‘Nobody is above the law including YB Syed Saddiq and parti MUDA’.
“Saya yakin pihak PDRM tidak berniat untuk melayan mana-mana sukarelawan sebagai penjenayah. Ribuan sukarelawan yang sudah berkhidmat di Johor ini tidak menghadapi masalah.
“Demi rakyat Johor dan kesejahteraan negeri ini, saya berharap agar tiada mana-mana pihak yang terus mempolitikkan bencana banjir terutamanya di negeri Johor ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Kenyataan Media
1. Semalam, saya telah mendengar kenyataan media YB Syed Saddiq, ahli Parlimen Muar melalui akaun Facebook beliau.
2. Isu yang telah dimainkan adalah mengenai laporan polis terhadap parti politik MUDA yang tidak mengikut prosedur penyelarasan dan keselamatan yang telah ditetapkan. Antara prosedur yang penting adalah pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak COVID-19.
3. Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio belia di Johor, Kerajaan Negeri menghargai dan mengalu-alukan mana-mana pihak dan NGO yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.
4. Mempelajari dari pengalaman di Selangor dan Pahang yang telah diuji dengan begitu hebat sekali dan daripada pengalaman Negeri sebelum ini, Bangsa Johor secara keseluruhan sejak Disember tahun lepas telah cuba melaksanakan yang terbaik bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.
5. Daripada Kerabat Diraja Johor, Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Johor, Pejabat Daerah, Agensi, Jabatan Kerajaan sehinggalah NGO dan persendirian menggembleng tenaga dalam menangani bencana banjir dan terus membantu rakyat Johor hingga ke hari ini.
6. Antara agensi yang membantu secara langsung sejak berlakunya banjir di Johor adalah Polis Diraja Malaysia. Sebab itu, saya mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang ingin menangguk di air yang keruh, mencuba untuk meruntuh dan menghakis integriti pihak PDRM dalam melaksanakan tugas mereka.
7. Pada masa yang sama, saya ingin memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada ribuan individu dan puluhan NGO yang sudah tampil kehadapan membantu memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor. Terima kasih juga kerana telah mengikuti prosedur dan membuat penyelarasan bersama pejabat-pejabat daerah.
8. Namun begitu, apabila terdapat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang tidak mengikut prosedur, maka menjadi tanggungjawab pihak PDRM untuk membuka kertas siasatan. “Nobody is above the law including YB Syed Saddiq and parti MUDA”.
9. Saya yakin pihak PDRM tidak berniat untuk melayan mana-mana sukarelawan sebagai penjenayah. Ribuan sukarelawan yang sudah berkhidmat di Johor ini tidak menghadapi masalah.
10. Saya sarankan supaya YB Syed Saddiq yang baru sahaja turun ke Johor semalam supaya berhenti mengkambing-hitamkan pihak PDRM.
11. Demi rakyat Johor dan kesejahteraan negeri ini, saya berharap agar tiada mana-mana pihak yang terus mempolitikkan bencana banjir terutamanya di negeri Johor ini.
Sekian, terima kasih.
Onn Hafiz
Exco Pelancongan Belia dan Sukan Negeri Johor
– Johor Gazette
Discussion about this post