Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkongsi rasa gembira dapat bertemu dengan kakitangan KEMAS Kelantan, semalam.
Menurut beliau, pertemuan tersebut merupakan pertemuan kali pertama dengan warga pendidik masyarakat KEMAS yang hadir di Kota Bharu.
“KEMAS akan memberikan penumpuan kepada perlaksanaan modul pembelajaran berasaskan Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) 2.0 di 10,740 buah TABIKA KEMAS seluruh negara sebagai tambah nilai kepada kurikulum Pendidikan Islam sedia ada dengan memperkenalkan Modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) 2.0.
“Melalui modul ini, kanak-kanak berusia 5-6 tahun bukan sahaja dididik dengan ilmu-ilmu asas fardu ain tetapi juga dicanai dengan aspek adab dan akhlak terpuji,” kata Zahid menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam masa yang sama, KEMAS juga akan memperkenalkan modul asas Ulul-Albab dengan memfokuskan kepada hafazan ayat-ayat lazim dan sebahagian daripada surah-surah juzuk Amma.
Jelas Zahid, semua kurikulum tersebut akan diolah semula dengan menggunakan pendekatan belajar sambil berhibur dan selari dengan tahap usia lima hingga enam tahun.
“Ini bagi melahirkan anak-anak yang terdidik dan dibangunkan sahsiah keperibadian seawal pra-sekolah dengan penghayatan Islam yang holistik dan seimbang,” ujarnya.
Discussion about this post