Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan pelancaran UCSI University, Kampung Bangladesh yang diadakan di Le Quadri Hotel, hari ini.
Beliau mengucapkan tahniah kepada universiti tersebut kerana berjaya menunjukkan pertumbuhan yang progresif serta kemajuan yang pesat sepanjang ditubuhkan.
“Pelancaran kampus cawangan Bangladesh in merupakan langkah penting ke arah pengantarabangsaan yang lebih meluas. Diharap supaya IPTS lain turut melaksanakan usaha yang sama bagi memantapkan imej dan kualiti pendidikan tinggi negara.
“Diplomasi pengetahuan merupakan aspek penting dalam membina jambatan persefahaman antara masyarakat dan negara luar. Kerjasama melalui perkongisan ilmu, kemahiran dan kepakaran mampu meningkatkan akses dan ekuiti pembangunan modal insan di kedua negara,” kata Khaled menerusi hantaran yang dikongsi di Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan agar usaha yang dilakukan tersebut perlu melibatkan hubungan kerjasama yang kukuh dengan pelbagai pihak dalam memastikan kejayaan di penghujungnya.
Tegasnya, beliau tidak meletakkan sebarang perbezaan di antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Insititut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berikutan kedua-duanya adalah universiti di negara ini.
“Kejayaan mana-mana IPT adalah kejayaan kita bersama,” tambahnya lagi.
Turut hadir YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor UCSI, YBhg. Datuk Prof. Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah JPT, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, Naib Canselor UCSI, YBhg. Datuk Peter Ng, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif UCSI Group serta pengurusan kanan universiti.
Discussion about this post