Kerajaan bersetuju mengekalkan purata tarif asas elektrik pada kadar 39.45 sen/kWj bagi tahun 2021 dan memberikan rebat 2 sen/kWj yang memanfaatkan 7.5 juta pengguna domestik
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah berkata dengan rebat itu, pengguna domestik akan mengalami penurunan bil di antara 3.6% hingga 9.2% manakala pengguna komersial dijangka mengalami penurunan bil elektrik di antara 4.0% hingga 5.2%.
Bil elektrik bagi pengguna industri pula akan menurun di antara 4.6% hingga 6.1%, kata beliau.
Rebat itu berkuat kuasa selama enam bulan pertama tahun depan, kata beliau.
Shamsul berkata kerajaaan berharap agar pemberian rebat ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19.
Shamsul berkata rebat itu yang pertama sejak Julai 2018.
Pada Jun lepas, kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik dan bukan domestik kekal tanpa sebarang surcaj bagi tempoh 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.
Dalam pada itu, Shamsul berkata kerajaan juga bersetuju untuk melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh tahun kedua 2020.
Discussion about this post