UMNO tidak akan bekerjasama dengan PKR pada pilihan raya akan datang dan hanya akan bergerak dengan rakan-rakan komponennya di bawah panji Barisan Nasional tegas Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Parti tidak mengadakan perbincangan dengan PKR mengenai kerjasama politik dan sebarang kemungkinan hanya akan diterokai selepas PRU15 katanya kepada portal Thestar yang menemubualnya secara ekslusif semalam.
Mengulas mengenai beberapa laporan bahawa terdapat perbincangan mengenai Kerjasama politik dengan Presiden PKR, jelas Ahmad Zahid, tidak ada perbincangan sama ada, baik secara formal atau tidak rasmi dengan presiden parti itu.
“Tidak dengan saya, tidak juga dengan Mat Hassan (timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya lagi di dalam wawancaranya menjelang perhimpunan agung UMNO yang akan diadakan pada 27-28 Mac.
UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung 2020 pada 27 Mac dan 28 Mac ini dimana ianya bakal mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.
Ketika ditanya apakah ada pemimpin UMNO lain yang bertemu dengan Anwar mengenai hal ini, Ahmad Zahid berkata “Anda harus bertanya kepadanya dengan siapa dia ( Anwar) berbincang tetapi Umno tidak membenarkan wakil untuk mengadakan perbincangan seperti itu.” Katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai adakah UMNO bersedia untuk menjalinkan Kerjasama dengan PKR itu, Jelas Ahmad Zahid, buat masa ini, tidak ada diskusi dengan parti-parti di dalam Pakatan Harapan itu.
“Tidak ada diskusi, tidak dengan PKR, tidak dengan DAP, tidak dengan Pakatan Harapan,” tegasnya lagi.
Menyentuh kerjasama Umno dengan PAS, Ahmad Zahid mengatakan kedua-dua parti masih bekerjasama dalam semangat Muafakat Nasional.
“Tetapi terserah kepada mereka. Sekiranya mereka merasa lebih selesa bekerja dengan pihak lain, mereka boleh melakukannya, ”katanya.
PAS dan Umno membentuk gabungan Muafakat Nasional pada tahun 2019, tetapi ia juga merupakan anggota gabungan Perikatan Nasional dengan Bersatu dan tiga parti lain.
Discussion about this post