Sentimen ‘kluster mahkamah’ yang digunakan pembangkang tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk mendapat kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Malah, serangan seperti itu hanyalah ‘taktik lama’ yang tidak akan memberi kesan besar kepada BN, kata
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Tidak mustahil (menang dua pertiga) walaupun agak sukar. Tetapi tidak mustahil.
“Lihat Najib punya gelombang. Dia boleh menembusi sekolah Cina dan masuk ke flat. Ke mana dia pergi, rakyat beri sokongan…itu gambaran bahawa rakyat merindui kerajaan BN,” katanya.
Mengulas lanjut Saarani berkata, sentimen pengundi di Johor dilihat seakan sama sebagaimana yang berlaku pada PRN di Melaka.
Ujarnya, bukan sahaja orang Melayu malah, pengundi dalam kalangan masyarakat Cina juga turut memberi sokongan kepada BN.
“Mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat untuk dapat membangunkan negeri Johor. Jadi, nampaknya, mereka akui bahawa sudah ada pengalaman dengan BN kemudian orang kata nak tukar sekejap tukar selera, bagilah pada PH, 22 bulan tetapi telah gagal.
“Kemudian daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin pun nampak tidak berjaya,” ujarnya.
Saarani berkata, serangan ke atas Najib yang dilakukan oleh pembangkang hanya membuang masa dan ia merupakan satu pembaziran.
Tambahnya, Najib bukan bertanding pada PRN di Johor atau memegang jawatan Presiden mahupun Timbalan Presiden UMNO.
“Jadi. apahal mereka nak menembak dia (Najib) bukan-bukan. Dia bukan nak jadi Menteri Besar,” jelasnya.
Justeru katanya, rakyat Johor wajar memberi peluang kepada BN kerana parti ini ada agenda besar untuk berbuat kebajikan kepada mereka.
Discussion about this post