Tidak wajar ketepikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada dilantik dalam Jemaah Menteri, kata bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Mengikut laporan media, Tian Chua menegaskan Zahid mempunyai peranan yang penting untuk menjamin kestabilan dalam kerajaan yang ketika ini di pimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, Zahid juga berperanan penting dalam pembentukan kerajaan sebelum ini dimana rakyat dapat menyaksikan kerjasama yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH) dibawah Kerajaan Perpaduan sepertimana dituntut oleh YDPA.
“Pemimpin PH dan BN perlu membina kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain. Tidak dinafikan, masih terdapat keraguan dalam BN, khususnya UMNO namun Zahid menunjukkan keupayaannya untuk menyatukan BN ke dalam pendirian bersama untuk bekerjasama dengan PH.
“Pengalaman Zahid dalam kerajaan adalah satu kelebihan dan beliau boleh melengkapi menteri PH yang tidak berpengalaman. Beliau juga boleh menjadi pengantara antara PH dan perkhidmatan awam dan segmen konservatif kerajaan.
“Zahid juga boleh berperanan dalam menghubungkan parti komponen lain dalam gabungan besar itu, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Menyentuh isu rasuah, Tian Chua menekankan dengan menyingkirkan Zahid serta kluster mahkamah yang lain tidak menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih dan bebas daripada rasuah.
Sepertimana pentadbiran sebelum ini yang tidak mempunyai menteri mahupun timbalan menteri daripada kluster mahkamah namun begitu dakwaan berlaku rundingan terus serta dakwaan pilih kasih tetap dijadikan sebagai isu. Begitu juga dengan Zahid sekiranya beliau menjadi jemaah menteri, itu tidak bermaksud Zahid akan terlepas dari pendakwaan.
“Prosiding perbicaraan harus diteruskan dan Zahid mesti membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah. Jika kita mahu serius mengenai (membasmi) rasuah, kita memerlukan pembaharuan yang sebenar untuk merombak secara sistematik institusi pemerintahan kita.
“Untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh, kita memerlukan kerajaan yang kuat dan berkesan. Mujurlah PH menikmati permulaan yang baik. Bagaimanapun, PH tidak mampu untuk bercanggah dengan BN pada peringkat awal ini. Kerjasama antara Anwar dan Zahid adalah sangat penting,” katanya lagi.
Discussion about this post