Saya menyeru dengan tegas agar titah dan hikmah SPB YDPA diterjemahkan segera ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan hari ini.
Katanya Mempolitikkan titah baginda tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.
” Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi Raja yang bebas dan berada di atas politik.”
Tambah Mohamad Hasan lagi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama-sama Raja-raja Pemerintah telah mengemukakan pandangan bahawa tidak wujud keperluan untuk Pengisytiharan Darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.
“ SPB YDPA telah mengusulkan Parlimen segera bersidang. Raja-raja Pemerintah di peringkat negeri juga telah berkenan agar Dewan Undangan Negeri dibenarkan bersidang.”
“ Kerajaan wajar memanggil persidangan Parlimen segera. Jangan berdolak-dalih dengan alasan SPB YDPA tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang” katanya melalui satu hantaran di laman facebooknya hari ini.
Tambahnya lagi Pengumuman Kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh di buka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian. Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan.
“ Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka. Ia adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan” katanya lagi.
Semalam Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.
Kenyataan itu selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Discussion about this post