Penolakan usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) oleh pihak Pembangkang di Parlimen jelas melanggar MOU yang telah ditanda-tangani sebelum ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi menjelaskan dalam MOU yang ditanda-tangani pada 13 September 2021, Perkara 3.3(b) menggariskan bahawa pihak PH bersetuju akan ‘mengambil pendirian MENYOKONG atau BERKECUALI dalam apa apa usul yg di kemuka oleh kerajaan’.
“Ini bermakna PH telah berjanji tidak akan menolak sebarang usul kerajaan dalam Parlimen sekiranya dibentangkan,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Hal itu jelas membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) telah mengingkari MOU tersebut sekaligus membawa kepada persoalan besar samaada MOU antara Kerajaan dengan Pembangkang masih terpakai ataupun tidak.
“Yang pasti kerajaan tidak boleh selamanya ditadbir dengan mengharapkan ihsan pembangkang,
“Mana mungkin kestabilan politik mampu dicapai jika negera berterusan sebegini!
“Mana mungkin keyakinan pelabur mampu diraih jika kerajaan dilihat tidak stabil dan boleh diugut pada bila-bila masa,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.
Discussion about this post