Susulan tular dokumen ‘PASLeaks’ yang mengandungi dakwaan percaturan termasuk untuk mencampuri urusan kehakiman, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kesahihan dokumen itu tidak dapat ditentukan.
“Kita pun tak tahu dokumen itu betul atau tidak,” kata Ismail ringkas menerusi media.
Dokumen PASLeak yang bocor itu dikatakan sebagai minit mesyuarat yang didakwa perbincangan pemimpin PAS dengan pemimpin Bersatu, Azmin Ali dan Hamzah Zainudin, serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan gerak kerja untuk percaturan politik politik termasuk campur tangan dalam bidang kehakiman.
Ismail menjawab pertanyaan media itu ketika majlis perasmian sesi Town Hall dan pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.
Kandungan dokumen tersebut antaranya dikatakan mengenai masuk campur dalam kes mahkamah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar proses memenjarakan mereka dipercepatkan.
Sebelum ini, Zahid yang juga telah membuat laporan polis mengenai dokumen itu meminta rakyat untuk menilai sendiri.
“Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka ia membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan AG (Peguam Negara) dan CJ (Ketua Hakim Negara),” katanya menerusi posting diFacebook.
Manakala, veteran UMNO Tan Sri Shahrir Samad turut mempersoalkan jika sekiranya dinafikan dokumen ini, beliau menunggu laporan polis yang dibuat oleh pihak PAS.
“Naib Presiden PAS menafikan kesahihan ‘Laporan Engagement PAS Pusat’ dan kandungannya tapi tidak menafikan berlakunya pertemuan dengan pemimpin-pemimpin seperti tersenarai dalam laporan itu,” ujar Shahrir juga menerusi catatan Facebooknya.
Selain itu, Ismail juga enggan mengulas lanjut mengenai isu ini berikutan nama beliau turut tersenarai dalam dokumen tersebut yang menentukan masa depan beliau sebagai Perdana Menteri.
Discussion about this post